Tunggu pasang tempurung kepala

KUALA TERENGGANU: Berat mata memandang, berat lagi kesengsaraan yang ditanggung kanak-kanak mangsa sikap panas baran teman lelaki ibunya, apabila perlu menjalani beberapa lagi pembedahan, termasuk memasang semula tempurung kepala.

Mohd Danish Aiman Abdullah, 2, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) 20 April lalu selepas cedera parah di kepala akibat diketuk kekasih ibunya, di Kampung Tualang, Manir, di sini, sudah dipindahkan ke wad biasa Jumaat lalu, namun mangsa masih perlukan pengawasan rapi.

Mangsa juga perlu menjalani beberapa lagi pembedahan, walaupun keadaannya stabil selepas menjalani pembedahan kedua minggu lalu bagi memasukkan tiub untuk memudahkan penyaluran air dari kepalanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman, berkata mangsa perlu menjalani satu lagi pembedahan dalam tempoh terdekat kerana pengaliran air pada tiub yang dipasang pada sistem takungan di kepalanya masih tersekat.

Katanya, pembedahan seterusnya bergantung kepada keadaan mangsa, tetapi setakat ini, Mohd Danish Aiman sudah stabil dan mula menunjukkan tindak balas, termasuk menggerakkan tangan.

“Kita belum boleh melakukan pembedahan untuk memasang semula tempurung kepalanya kerana otak Mohd Danish tidak mengecut seperti jangkaan selepas pembedahan membuang darah beku pada kepala sebaik dimasukkan ke ICU HSNZ, bulan lalu,” katanya ketika melawat mangsa, semalam.

Pada 20 April lalu, Mohd Danish Aiman cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke HSNZ selepas diketuk di kepala dengan senduk oleh teman lelaki ibunya, kira-kira jam 9 malam yang dikatakan berang kerana mangsa selalu berlari dalam rumah.

Mangsa serta ibunya yang berusia 22 tahun dikatakan menumpang di rumah lelaki itu sejak tiga bulan sebelum kejadian.

Mengulas lanjut, Anwa berkata, berdasarkan laporan pakar, Mohd Danish Aiman perlu menjalani beberapa lagi pembedahan dan yang terakhir ialah untuk memasang semula tempurung kepalanya.

“Tempurung kepala belum boleh dipasang kerana otaknya masih membengkak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis memperhebat gerakan memberkas suspek, seorang penganggur dikenali Azhar Jusoh, 31, yang menghilangkan diri selepas ibu mangsa membuat laporan di pondok polis HSNZ pada hari kejadian.