Tunai cek palsu RM825,000

BATU PAHAT: Seorang kerani sebuah syarikat pemasaran di sini terkejut apabila mendapati wang RM825,000 dalam akaun bank syarikatnya bekerja lesap, 2 Mei lalu.

Kerani itu menyedari kehilangan wang berkenaan selepas melakukan pemeriksaan penyata kewangan syarikat yang diserahkan bank untuk diperiksa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika menyemak penyata akaun syarikat, kerani terbabit terkejut kerana beberapa cek sudah ditunaikan dalam jumlah besar.

“Ketika membuat semakan terhadap nombor siri cek yang sudah ditunaikan, kerani itu mendapati cek terbabit masih berada dalam simpanannya. Dia kemudian membuat laporan polis.

“Kerani berkenaan turut melakukan semakan dan mendapati individu terbabit melakukan pengeluaran wang menggunakan cek palsu,” katanya, semalam.

Menurut Din, kerani itu memaklumkan empat cek palsu dikenal pasti diserahkan kepada bank dalam transaksi terbabit.

Din berkata, transaksi bermula pada 14 April sehingga 26 April lalu.

“Hasil siasatan, kami menahan seorang individu dipercayai terbabit penipuan itu.

“Suspek yang berasal dari Klang, Selangor dipercayai berpakat dengan beberapa kenalannya untuk melakukan perbuatan terbabit,” katanya.

Menurut Din, selepas ditahan, kerani berkenaan dibawa berjumpa suspek dan mendakwa tidak mengenali serta tidak pernah berurusan dengan individu terbabit.

Din berkata, biasanya, jika berlaku transaksi yang membabitkan cek dalam jumlah besar, bank akan menghubungi pemiliknya.

“Kerani berkenaan mendakwa telefonnya rosak dan menyebabkan dia gagal dihubungi bank.

“Kami masih melakukan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, kenalan suspek juga masih diburu,” katanya.