‘Tubuh tribunal timbang tara’

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini menjalani penggantungan dua tahun enam bulan, Tan Sri Annuar Musa (gambar) akan menghantar surat kepada Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk bola sepak negara itu untuk menubuhkan tribunal timbang tara.

Menurutnya, tindakan tersebut terpaksa dibuat selepas beliau tidak diberikan sebarang ruang untuk mengemukakan rayuan berhubung penggantungan yang dikenakan ke atasnya oleh FAM sebelum ini.

“Saya berharap Ex- co FAM dapat mewujudkan tribunal itu dan saya akan membentangkan kes ini kepada mereka dalam usaha untuk mencari keadilan.

“Saya juga tidak berhasrat untuk pergi ke (Mahkamah) Timbang tara Sukan (CAS) kerana mahu ia diselesaikan dalam keluarga FAM.

“Saya mahu ia berasaskan proses undang-undang. FAM diminta melantik peguam timbang tara dan biarlah ia (peguam timbang tara) meneliti perkara yang saya temui untuk mencari keadilan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran album Dikir Warriors dan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, apa yang diperjuangkan itu bukan untuk menepis hukuman yang dihadapinya tetapi lebih kepada usaha melihat sejauh mana proses keadilan, terutamanya pelaksanaan undang-undang oleh FAM.

Pada 4 April lalu, FAM memu- tuskan Annuar digantung dua tahun enam bulan berkuat kuasa serta-merta daripada sebarang aktiviti bola sepak peringkat nasional dan antarabangsa.

Annuar didapati bersalah melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, yang mana hanya Presiden FAM boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Atas kesalahan itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Beliau juga didakwa melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media. Bagi pertuduhan kedua itu, Annuar dikenakan hukuman peng- gantungan enam bulan.

“Semua orang terikat dengan peraturan yang ada baik Presiden, Timbalan Presiden atau sesiapa sahaja memang terikat dengan Artikel 88.

“Saya fikir pada masa akan datang akan timbul satu kontroversi lebih besar kerana Artikel 88 itu mengikat semua orang,” ujarnya.