Tidak perlu tribunal untuk selesai isu FAM

KUALA LUMPUR — Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tidak perlu ditubuhkan tribunal timbang tara bagi menyelesaikan krisis antara Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak dengan Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pergeseran di antara kedua-dua pemimpin tersebut adalah berkaitan dengan peraturan dan undang-undang dalam FAM sendiri.

Katanya, jika terdapat anggota dalam FAM yang merasakan sesuatu undang-undang tidak sesuai mereka boleh menggunakan platform mesyuarat agung untuk mengubah dasar dan peraturan sedia ada.

“Saya kira FAM buat tindakan berdasarkan kepada peraturan, cumanya orang anggap FAM begitu keras dalam menguatkuasakan peraturan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Studio Jazz Belia Sedunia di Sri Petaling dekat sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peringatan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Taufik bahawa Annuar boleh disingkirkan dari barisan exco FAM sekiranya terus melibatkan diri dengan aktiviti bola sepak terutama di peringkat negeri.

Annuar ketika ini menjalani hukuman penggantungan selama 30 bulan dan berikutan itu beliau tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuatkuasa 4 April lepas.

Beliau didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad negara, sekaligus melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Feb lepas. — BERNAMA