Tempahan Ferrari mengatasi penawaran

NAZA Italia Sdn Bhd (Naza Italia), pengedar eksklusif kereta premium sport, Ferrari dan Maserati di negara ini yakin permintaan terhadap kereta keluaran Ferrari SpA Itali akan terus meningkat pada masa depan berikutan peningkatan jumlah pembeli baru sejak kebelakangan ini.

Ini kerana tempahan bagi sesetengah model yang dilancarkan sudah dipenuhi dua hingga tiga tahun lebih awal sedangkan pihak syarikat hanya mampu membekalkan kereta itu kepada pembeli berdasarkan kepada peruntukan untuk tempoh setahun. Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, ketika ini seramai 450 pemilik aktif Ferrari berdaftar dengan Kelab Pemilik Ferrari Malaysia dan kira-kira 250 lagi pemilik Ferrari tidak berdaftar dengan kelab berkenaan.

“Melihat kepada jumlah ini membuktikan demografi pemilik kereta ini semakin berkembang dengan lebih ramai pelanggan baru berbanding pelanggan sedia ada yang berlumba-lumba untuk memiliki jentera berprestij ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran model Ferrari 458 Spider oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Petaling Jaya, semalam.

Beliau berkata, Naza Italia ketika ini menduduki tempat ketiga teratas dari segi jualan Ferrari di rantau Asia Pasifik dan memiliki pusat servis lengkap bertaraf 4S selain menawarkan program khas untuk pemilik Ferrari membuat tempahan kereta secara eksklusif mengikut cita rasa masing-masing.

Sementara itu, mengenai Dasar Automotif Negara (DAN), SM Faisal berkata, pihaknya sudah memberikan input dan yakin kerajaan akan menggariskan polisi yang memberikan manfaat kepada negara serta berharap dasar itu akan menggembirakan pengguna.

Ferrari 458 Spider yang berharga dari RM1.9 juta hingga RM2.2 juta dijana enjin Ferrari 570 CV 4,499cc V8 yang mampu memecut pada kelajuan maksimum 320 kilometer sejam.