‘Teliti, fahami undang-undang FAM’

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah (gambar kecil) mahu penyokong pasukan bola sepak meneliti dan memahami undang-undang FAM sebelum mengeluarkan kenyataan menggesa persatuan bola sepak negeri keluar daripada badan induk bola sepak negara ini.

Baginda bertitah, memang mudah bagi individu terbabit mengeluarkan kenyataan seumpama itu tetapi pada hakikatnya, persatuan bola sepak negeri tertakluk kepada undang-undang FAM.

“Baca perundangan FAM, kita ada undang-undang dan jangan sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang akhirnya akan memberi kesan kepada diri atau pasukan bola sepak kita sendiri.

“Ini bukan kenyataan nak keluar atau masuk rumah, sebaliknya ia melibatkan persatuan bola sepak negeri yang tertakluk di bawah undang-undang FAM,” titah baginda ketika ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2012 di Dataran Pekan kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan, penyokong pasukan bola sepak Sarawak dalam satu laman web iaitu petisyen.com yang mula dilancarkan kelmarin, meminta Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) keluar daripada FAM selepas tidak berpuas hati dengan tindakan badan induk bola sepak negara ini.

Gesaan itu dibuat kerana menganggap hukuman yang dikenakan terhadap FAS oleh FAM bersifat zalim dan ia juga ekoran tindakan FAM menggantung Timbalan Presiden FAS, Mohd. Abu Bakar Marzuki lapan bulan dan denda RM8,000 atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda percaya tidak semua penyokong bola sepak Sarawak berpendapat sedemikian kerana mereka tahu FAS tidak akan mampu bergerak sendirian jika keluar daripada FAM.

“Kita seharusnya bersatu. Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia, kita 1Malaysia dan kita perlu bersama walaupun berada dalam persatuan bola sepak,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda akan bertemu Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bagi mendapatkan maklum balas beliau mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, FAM telah mengenakan denda berjumlah RM46,000 terhadap FAS berdasarkan empat pertuduhan ketika Sarawak menentang Kelantan di Stadium Negeri Sarawak, 7 April lalu.

Sebelum itu, FAS telah dikenakan denda sebanyak RM29,500 gara-gara kegagalan mengawal penyokong dan pemain pada perlawanan menentang Lions XII di Stadium Negeri Sarawak, 17 Mac lalu.