Tekad lawan penyamun berpistol dengan kayu

PETALING JAYA — Seorang pemilik restoran tekad untuk melawan dua penyamun, yang salah seorang daripada mereka bersenjatakan pistol, ketika menceroboh rumah teres dua tingkatnya di Taman Sea Park di sini hari ini.

Pemilik restoran yang hanya ingin dikenali sebagai Tan, 50, berkata, beliau terdengar bunyi bising di tingkat bawah pada kira-kira 6.30 pagi apabila ibu Tan yang berusia 70 tahun, menjerit akibat rantai lehernya diragut penyamun berkenaan ketika ibunya menjemur kain.

Ekoran jeritan itu, Tan mencapai sebatang kayu di dalam bilik tidur utamanya dan turun ke bawah, manakala isteri, adik dan tiga orang anak Tan masih nyenyak tidur.

Dua penjenayah itu dipercayai terkejut melihat kehadirannya apabila beliau keluar rumah dengan berkayu menyebabkan penjenayah yang bersenjatakan pistol itu melepaskan dua das tembakan rawak di mana pelurunya terkena lantai luar rumah dan dinding.

“Saya tidak menyangka tindakan itu mengundang rasa terkejut kepada suspek menyebabkan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan. Nasib baik tidak kena,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, hari ini.

Selepas melepaskan tembakan itu, dua penyamun berkenaan berjaya menewaskan Tan dan mengambil kunci kereta yang terletak di sebalik pintu rumah berkenaan sebelum melarikan diri dengan kenderaan Kia bersama seutas rantai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis menjalankan siasatan mengikut 392 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan. — BERNAMA