Tapak Depan Rumah Ambiga Cecah RM5,000

KUALA LUMPUR – Sebuah tapak ‘special’ yang dibuat betul-betul di hadapan kediaman Penganjur Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga telah dibida sehingga mencecah harga RM5,000 hari ini.

Majlis Bertindak Peniaga-peniaga Kuala Lumpur telah melakukan proses membida tapak ‘special’ perniagaan itu di hadapan bangunan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam tinjauan sewaktu proses bidaan dilakukan, seorang peniaga, Ahmad Diah Ali, 50 berjaya mendapatkan tapak berkenaan pada harga itu.

“Saya sanggup membida tapak itu dengan harga ini kerana saya berasa tidak puas hati dengan sikap lepas tangan penganjur bersih, Ambiga. Dia telah menyusahkan para peniaga dan mengacau perniagaan kami.

“Siapa yang nak tanggung kerugiaan kami? Saya buat ini supaya memberi kesedaran kepada Ambiga janganlah buat sesuatu perkara yang bodoh seperti Bersih 3.0,” kata Ahmad Diah selepas proses bidaan selesai di sini hari ini.

Ahmad Diah akan mendirikan gerainya sendiri di tapak ‘special’ itu dan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman kepada orang ramai.

Sementara 59 tapak yang selebihnya dibuka kepada peniaga-peniaga lain untuk dipilih secara bebas dengan dikenakan bayaran sebanyak RM100.

Wang bidaan itu telah diserahkan kepada pengerusi majlis itu untuk dibuat sebagai modal dalam menjalankan perniagaan gerai di sepanjang jalan di hadapan rumah Ambiga.

Pagi tadi, permohonan untuk mendapatkan lesen berniaga di hadapan rumah Ambiga telah diserahkan kepada Datuk Bandar, Tan Sri Ahmad Fuad supaya membolehkan peniaga-peniaga berniaga secara aman di kawasan perumah tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Fuad menasihatkan supaya peniaga-peniaga tidak meneruskan rancangan mereka untuk berniaga dan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

Sumber