Tanah peneroka tidak akan tergadai – Ahmad Maslan

SHAH ALAM: Dakwaan tanah-tanah peneroka FELDA akan tergadai setelah Felda Global Venture Holdings (FGVH) disenaraikan dalam Bursa Malaysia adalah tidak tepat.

Ini kerana hanya tanah-tanah kerajaan melalui hak pengurusan di bawah Akta GSA 1960 akan disewakan kepada entiti itu dan ianya bukan milik peneroka.

“Kita cuma sewakan tanah FELDA itu, bukan kita bagi kepada FGVH, jadi tanah tu tidak mungkin akan terlepas sebab tanah tu hanya sewa jangka panjang.”

Itu penjelasan yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung tanah peneroka yang didakwa berisiko tinggi untuk tergadai sekiranya penyenaraian tersebut diteruskan oleh kerajaan Jun ini.

Menurut beliau lagi, rakyat perlu tahu bahawa saham peneroka yang disenaraikan di Bursa Malaysia hanya 3 peratus.

Justeru katanya rakyat khususnya peneroka tidak perlu khuatir akan kehilangan tanah-tanah berkenaan kerana kerajaan telah meneliti kepentingan semua pihak sebelum keputusan dibuat.

“Satu lagi, pemilikan peneroka tu sikit sangat sahaja. Peratusnya terlalu sikit, kalau saham itu dijual pun tak akan menjejaskan pegangan ekuiti bumiputera yang 60-70% tu,” kata beliau ketika dihubungi.

AntaraPos.com sebelum itu menghubungi Ahli Parlimen PAS, Dr Dzulkefly Ahmad untuk mendapatkan reaksi mewakili kepemimpinan Pakatan Rakyat yang konsisten menentang penyenarian tersebut sekaligus menuduh kerajaan memperjudikan kepentingan peneroka FELDA.

Dzulkefly turut dilihat merujuk kepada maklumat kurang tepat malah juga dikesan cuba mengelirukan umum bersabit status tanah-tanah itu.

“Semua tanah-tanah pada suatu masa dahulu merupakan tanah FELDA Plantation sekarang ini telah disuntik dalam Felda Global Ventures. Daripada tanah itu (peneroka) dapat duit. Tapi ingat tanah itu bukan kepunyaan FELDA, ianya sudah jadi (kepunyaan) awam,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu telah menjelaskan bahawa penyenaraian itu nanti tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali.

Jelas beliau cadangan tersebut hanya melibatkan tanah kerajaan negeri.
“Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberi hak memajukan kepada kerajaan persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GSA 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations.”

Awal minggu lalu, Najib mengumumkan durian runtuh RM15,000 untuk setiap peneroka membabitkan lebih RM 1.6 bilion serta beberapa insentif lain berikutan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia tidak lama lagi.