Suspek kes ragut mati, rakannya cedera parah

KUALA LUMPUR – Seorang suspek kes ragut mati manakala rakannya cedera parah selepas mereka terbabas dan terpelanting ke arah sebuah van ketika cuba melarikan diri setelah meragut seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Batu 3 1/2, Cheras di sini awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, suspek pertama berumur 19 tahun merampas beg tangan seorang wanita warga Singapura yang sedang makan di restoran dan cuba melarikan diri dengan membonceng motosikal dipandu suspek kedua berumur 18 tahun.

Seorang saksi yang berada di dalam keretanya tidak jauh dari tempat kejadian bertindak mengejar kedua-dua suspek itu sejauh 250 meter dengan kenderaan sebelum terlanggar belakang motosikal suspek mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan suspek terpelanting ke arah van yang terletak di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh memebritahu Bernama, kedua-dua suspek warga tempatan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan akibat cedera parah di bahagian badan dan patah kaki.

Katanya, suspek berumur 18 tahun yang cedera parah di beberapa bahagian badan itu meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi.

“Dia mati mengejut namun polis akan menyiasat dan menunggu keputusan bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian. Seorang lagi suspek masih dirawat di pusat perubatan berkenaan,” katanya.

Mohan Singh berkata suspek akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Beliau berkata kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala mangsa ragut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi dan mendapatkan balik beg tangannya yang diragut. – Bernama