Siswa ganas menyerah diri

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang merupakan antara 91 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung rusuhan pada perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu ditahan polis semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Khalid Mohd. Ismath, 22, ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi ketika datang bersama ibu bapanya, Junaidah Mohd. dan Mohd. Ismath Habib Mohamad serta peguamnya, Nasar Khan.

Junaidah dan Mohd. Ismath merupakan pesara kakitangan awam.

“Pelajar terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan lanjut dan perintah tahanan reman akan diambil jika siasatan belum selesai,” katanya.

Jelas Mohmad, pelajar jurusan undang-undang itu diminta datang memberi keterangan kerana membuat ugutan terhadap anggota polis menerusi laman Facebook dan menyerang seorang anggota polis trafik pada hari perhimpunan haram Bersih tersebut.

Dalam kejadian itu, pelajar terbabit dirakam menendang anggota polis trafik yang terjatuh daripada motosikalnya ketika bertugas dalam Ops Aman yang dihadiri kira-kira 25,000 orang.