Simpati dengan Mat Over

RAMAI yang terhibur dengan cara Mat Over atau Sulaiman Yasin mengendalikan Konsert Riuh Di Laut Riuh Di Darat sempena Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 yang berlangsung di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Gaya kelakar dan bersahaja serta kesudiannya menyanyikan dua lagu menceriakan lagi suasana malam itu. Namun di sebalik tabir ramai yang tidak tahu dia sebenarnya mengalami kesedihan menjelang acara tahunan anjuran kerajaan Terengganu ini.

SS difahamkan, sementara menunggu konsert bermula, Mat Over memberitahu petugas HM dan Yantzen yang dia sebenarnya baru kehilangan anak ketiga Nur Zurianti, beberapa minggu sebelum itu.

Katanya, allahyarham berusia 28 tahun dan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Klang akibat barah usus. Paling menyedihkan Nur Zurianti bakal mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun ini.

Mat Over juga memberitahu, allahyarham sudah lama menderita penyakit ini, tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga. Arwah sering mengalami sakit perut dan selepas makan akan muntah semula.

Selepas melakukan endoskopi, mereka dapati bahagian dalam perutnya sudah diliputi dengan lumut berwarna kemerah-merahan. Keadaannya tenat sejak enam bulan lalu sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

Kata rakan ini, memang sedih apabila mendengar cerita Mat Over. Nampak ketara dia begitu sayangkan anak ketiganya apabila sanggup membatalkan tawaran sebagai pengacara yang sudah dipersetujui serta ambil keputusan berehat seketika dari seni.

Tambahnya, Mat Over, 60, mengakui kematian anak ketiga daripada enam beradik ini membuatkan mereka sekeluarga sedih.


Al-Fatihah buat Allahyarham Nur Zurianti serta mereka yang sudah terlebih dulu pergi meninggalkan kita semua. Moga ditempatkan di sisi orang yang beriman dan beramal soleh.