Sidang percubaan Parlimen Belia Jumaat ini

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan persidangan percubaan Parlimen Belia selama tiga hari di Hotel Palace of the Golden Horses mulai Jumaat ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, persidangan itu akan dianggotai wakil persatuan dan majlis belia, selain institusi pengajian tinggi.

“Parlimen Belia dianggotai 222 wakil dijangka bersidang pada penghujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Program Belia dan Sukan di sini semalam.

Beliau berkata, ahli Parlimen Belia dibahagikan kepada jawatankuasa seperti sosioekonomi, tenaga hijau, alam sekitar, dasar luar serta pelajaran dan ia akan membentangkan usul yang dicadangkan kepada kerajaan.

Ahmad Shabery berkata, pilihan raya secara online akan diadakan untuk pencalonan dan pemilihan 222 wakil Parlimen Belia namun proses itu bakal diperhalusi agar tidak timbul masalah teknikal.

“Kita sedang membina satu sistem di mana mereka yang bertanding akan menggunakan nombor kad pengenalan untuk mengesahkan bahawa mereka berusia di bawah 30 tahun, dan kawasan yang akan bertanding nanti adalah berdasarkan alamat dalam kad pengenalan.

“Rakyat Malaysia yang berusia 15 hingga 30 tahun, sama ada berada di dalam atau luar negara juga layak mengundi untuk memilih wakil Parlimen Belia masing-masing,” katanya. — BERNAMA