Seorang warga Myanmar terbunuh, 43 cedera nahas bas Balik Pulau

BALIK PULAU: Seorang warga Myanmar terbunuh manakala 43 yang lain cedera termasuk beberapa mangsa cedera parah apabila sebuah bas persiaran terbabas dan terjatuh ke dalam gaung ketika menuruni bukit menuju pekan ini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit. Semua mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk rawatan.

Nahas berlaku apabila bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter.

Difahamkan, semua mangsa adalah warga Myanmar yang dalam perjalanan untuk menghadiri satu program di sebuah masjid di pekan ini.

Nahas itu menyebabkan laluan menuju pekan ini sesak teruk sehingga Relau. Operasi menyelamat membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta kakitangan HBP.