Semangat Baru Lefthanded

Setelah beberapa siri reunion sebelum ini tidak kembali menyinarkan nama mereka, Lefthanded 2012 yang terdiri daripada enamanggota iaitu Nash (vokal), Man Kidal (gitar), Man Dayak (dram), Yan (bass) termasuk ahli baru, Boy Razak (bekas kibodis Jump-p) dan anak sulung Man Kidal,  Elly (gitar), kini akan mula mengganas.

Lefthanded 2012 dari kiri Man Dayak, Elly, Nash, Man Kidal, Yan dan Boy Razak bakal mengeluarkan single, album live dan album baru dalam tahun ini.

 Man Kidal dalam pertemuan eksklusif bersama Karisma menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk merakamkan single, album live dan kemudian album baru yang semuanya dirancang dalam tahun ini. Beliau memberitahu, proses rakaman lagu baru untuk single di PM Studio, Tawau, Sabah, sedang berjalan.

 “Kita dah mulakan rakaman sejak Mac lalu dan juga akan dikeluarkan oleh PM Records. Kita rakam di Tawau kerana sesuai dan mendapat ‘mood’ yang terbaik di studio tersebut. Selepas single kita akan keluarkan album live mungkin dalam bentuk DVD. Kita akan pilih persembahan yang dirasakan terbaik, tidak kiralah di negeri mana,” ujar gitar hero tersebut yang pernah bermain untuk Search dalam album pertama ‘Cinta Buatan Malaysia’ (1985).

Ditanya adakah Lefthanded yakin akan diterima pendengar terutama golongan muda, Man Kidal berkata, kumpulan yang diasaskan di Johor Bahru itu mempunyai kekuatan sendiri. “Lefthanded sudah lebih 30 tahun ditubuhkan dan kita mempunyai kekuatan sendiri iaitu daripada segi persembahan begitu juga dengan lagu-lagu terdahulu yang masih diminati ramai.

 Kalau masa konsert kita punya ramai peminat baru dan aku terperanjat bila diorang ikut sama menyanyi bila kami buat persembahan. Peminat kami terdiri daripada baru dan lama dan ini yang membuatkan kami bersemangat untuk teruskan Lefthanded,” katanya.

Bagaimana penerimaan anggota Lefthanded terhadap anak sulung kamu, Elly? Mungkin akan ada yang kata tidak patut atau tidak sesuai untuk kamu ‘berkongsi’ Lefthanded dengan anak sendiri? “Penerimaan tidak timbul kerana anggota Lefthanded sendiri yang mempelawa Elly untuk bermain dengan kami. Aku tak pelawa Elly bermain dengan Lefthanded. Dia pun serasi dan sudah didedahkan dengan lagu Lefthanded serta muzik dari era ’60-an dan ’70-an sejak kecil lagi untuk mendapatkan roh dan ‘feeling’ muzik band ini.

Elly juga mempunyai pengalaman luas sebagai pemuzik, misalnya pernah menjadi pemuzik undangan untuk artis Taiwan yang membuat persembahan di hadapan lebih 100,000 penonton. Jadi daripada segi kelayakan, memang tidak ada masalah untuk bersama Lefthanded,” jelasnya yang juga pernah menjadi sessionis dan muzik pengiring untuk persembahan artis-artis tempatan apabila Lefthanded kurang aktif selepas pertengahan ’90-an.

 Sementara itu, Nash pula memberitahu, album baru Lefthanded akan mengandungi 10 buah lagu dan konsep muzik masih sama iaitu hardrock dan heavy metal selain turut menyelitkan lagu balada rock. “Kali ini semua lagu dihasilkan oleh Lefthanded, tidak seperti dulu-dulu yang mendapat khidmat Ramli Sarip atau komposer lain. Kami tengah pilih lagu-lagu yang terbaik.

Sekarang ini kami agak sibuk kerana mendapat banyak undangan untuk buat konsert. Misalnya dalam masa terdekat kami akan beraksi di Johor Bahru, Tawau dan Singapura. Kami memang teruja nak buat album pasal bila Lefthanded main kat mana-mana, sambutannya sangat bagus, mungkin ada yang rindu sangat dengan Lefthanded,” ujar Nash tentang projek album baru yang sekian lama dinantikan peminat.

Lefthanded yang ditubuhkan pada 1979, pernah merakamkan album ‘Keadilan’ (1986), ‘Seruan’ (1987), ‘Q’abul’ (1988), ‘Evolusi’ (1989), ‘Fanatisme’ (1990), ‘Nafas’ (1996), ‘Dimensi Baru’ (1998) dan ‘Syurga dan Neraka’ (1999).

Jom layan arwah Samad beraksi bersama Man Keedal konsert tahun 1986 dahulu.