Seksa 10 hari dicampak lanun

SEPANG: “Pengalaman memang tak boleh dibayangkan, amat dahsyat sebab kami semua memang tahu laut adalah kubur, dan dalam tempoh 10 hari terapung kami cuma makan roti keras dan air yang ada di dalam rakit penyelamat sebagai penyambung nyawa,” kata Yusseri Yusof, 24, kelasi kapal Wantas Shipping Sdn Bhd yang dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak, 17 April lalu.

Katanya, dalam keadaan sehelai sepinggang mereka bertawakal dan menguatkan semangat walaupun menyedari peluang mereka amat tipis memandangkan semua sudah keletihan dilambung ombak dan terpaksa berpanas serta berembun.

“Nasib baik seorang kawan kami berenang hampir dua batu nautika apabila ternampak bot nelayan, sekali gus menyelamatkan kami semua,”katanya ketika ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Kepulangan mereka yang tiba dengan menaiki pesawat AK 883 dari Ho Chi Minh, Vietnam disambut Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turut dibawa pulang seorang lagi anak kapal, Lau Kah Chong, 36, dua warga Bangladesh, M Khorshed Alam dan Md Elias Uddin, sementara tiga lagi warga Indonesia iaitu Damri Marawat Napitupulu, 59, Solehuddin, 31 dan Supardi, 40, sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh anak kapal membawa janakuasa elektrik diselamatkan Jabatan Penyelarasan Penyelamat Vietnam selepas 10 hari menempuh pengalaman pahit berada dalam rakit penyelamat, apabila bot tunda mereka dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak pada 17 April lalu.

Kapal milik Wantas Shipping berpangkalan di Langkawi itu dipercayai membawa lapan kontena muatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit.

Mereka ditemui berhampiran Pulau Amboyana Kecil, Vietnam pada 30 April lalu dalam keadaan tidak bermaya selepas gerakan bersepadu membabitkan tiga negara dilakukan sebaik menerima maklumat.

Tongkang mereka ditemui Pasukan Pengawal Pantai Filipina di Cagayancillo di Palawan, Filipina pada 26 April lalu.

Yusseri berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu kapal mengikut haluan yang ditetapkan kapten dan langsung tidak menyedari kehadiran lanun terbabit.

“Saya hanya sedar apabila mereka yang berparang tarik dan pukul kepala, mengacu leher dengan parang selain membuang cermin mata yang dipakai.

“Mereka ramai dan semuanya bertopeng, selepas merampas kapal mereka menyuruh kami terjun ke laut, dan kami menyelamatkan diri dengan menaiki rakit penyelamat yang dicampak lanun itu,” katanya. Sementara ibu Yusseri, Putih Chin, 48 berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia, yang membantu membawa pulang anaknya dengan selamat.