Sejarah baru ciptaan Mourinho

MADRID – Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho mengesahkan bahawa beliau tidak berminat untuk membimbing pasukan daripada mana-mana negara selepas kejayaan merangkul gelaran juara Liga Sepanyol musim ini.

Selepas kejayaan bersama Real, Mourinho mencipta sejarah baharu apabila berjaya menjulang juara liga dalam empat negara berbeza ketika menjadi pengurus.

Sebelum ini, Mourinho berjaya menjulang gelaran juara liga ketika bersama Chelsea (England), Inter Milan (Itali) dan FC Porto (Portugal).

Kejayaan keempat Mourinho itu hadir selepas Real memastikan gelaran juara Liga Sepanyol menjadi milik mereka ketika menewaskan Athletic Bilbao, Rabu lalu.

“Apa yang paling penting bagi saya adalah memenangi Liga Sepanyol serta tiga lagi gelaran liga di tiga buah negara Eropah,” ujar Mourinho.

“Ketika ini, saya tidak hasrat untuk memenangi gelaran liga di negara lain. Tiada negara lain yang berjaya mempengaruhi minat saya.”

Kejayaan Mourinho bersama Real meletakkan reputasinya sebagai pengurus paling berjaya sebaris dengan pencapaian yang pernah dilakar Giovanni Trapattoni dari Itali, Ernst Happel (Austria) dan pengendali dari Croatia, Tomislav Ivic yang telah memenangi kejuaraan liga di empat negara yang berbeza.

“Pasukan saya bermain dalam salah satu liga yang hebat dalam sejarah bola sepak Eropah,” kata Mourinho yang menyaksikan Real melakar rekod baharu dengan meledak 115 gol sepanjang dua musim.

Begitupun, Mourinho memuji musuh ketat mereka, Barcelona dan beliau berharap pasukannya dapat mengatasi pencapaian The Catalan pada musim depan.

“Mereka (Barcelona) merupakan salah satu kelab yang besar dan mereka akan kekal hebat.

“Kami bersedia untuk berkerja dengan lebih keras dan seterusnya cuba memenangi semula gelaran liga pada musim depan,” katanya. – AFP