Sedarah berbeza politik: Tiada sebab untuk gaduh

SHAH ALAM – Bercakap mengenai fahaman politik berbeza, mungkin dua pemimpin ini adalah contoh terbaik.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mewakili Pas dan abangnya, Datuk Seri Shahrir Samad pula mewakili Barisan Nasional di Parlimen Johor Bahru.

Mereka bukan pemimpin picisan, sebaliknya penyokong kuat parti masing-masing.

Jadi, bagaimana mereka mengekalkan hubungan baik sebagai saudara kandung?

“Kita perlu hormat pendirian dan hak masing-masing,” kata Khalid.

Menurutnya, perbezaan fahaman­ politik antara insan terdekat tidak boleh dielakkan.

“Semua orang ada pandangan sendiri, tetapi perbezaan pendapat tak boleh diubah secara paksa atau dengan bermasam muka,” katanya.

Menceritakan hubungannya dengan Shahrir yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Khalid berkata, mereka menghormati keyakinan masing-masing terhadap parti berbeza.

“Kalau abang saya yakin Umno boleh bawa kebaikan kepada negara, saya pula mempunyai keyakinan­ sebaliknya. Jadi, kita perlu faham pendirian masing-masing,” katanya.

Pemimpin Pas yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan petroleum itu turut menjelaskan, perdebatan secara ilmiah perlu dibuat jika ingin menarik keyakinan orang lain terhadap parti politik pilihan.

“Hujah perlu dibuat secara ilmiah bila bercakap pasal politik dan jangan timbulkan perbalahan.

“Walaupun berbeza pendapat, adik-beradik perlu saling menghormati dan perlu diingat, keyakinan seseorang tidak boleh dipaksa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Khalid turut menasihatkan penyokong politik supaya tidak membuang keluarga atau memutuskan persahabatan hanya kerana fahaman­ berbeza.

“Tiada sebab kenapa kita perlu bergaduh antara ahli keluarga atau rakan hanya sebab perbezaan pendapat politik.

“Islam sendiri tidak mengajar begitu. Jangan wujudkan permusuhan hanya sebab politik,” akhiri beliau.

Terbaru Datuk Musa Sheikh Fadzir juga bakal berdebat dalam arena politik menghadapi abangnya yang telah berpaling tadah dari UMNO iaitu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.