Schumi malang

MONTE CARLO – Nasib malang menimpa juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher (gambar) pada sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Monaco semalam.

Biarpun mencatatkan masa terpantas buat kali pertama sejak kembali bersaing dalam arena F1 pada 2010, pemandu pasukan Mercedes GP itu terpaksa memulakan saingan akhir di petak keenam.

Semuanya gara-gara penalti yang dikenakan terhadap Schumacher ekoran insiden perlanggaran dengan pemandu Williams, Bruno Senna pada perlumbaan GP Sepanyol di Litar Catalunya dua minggu lalu.

Akibatnya, pemandu kelahiran Jerman berusia 43 tahun itu dikenakan penalti lima petak ke belakang pada perlumbaan di Litar Monaco hari ini.

Petak hadapan pula menjadi milik pemandu Red Bull, Mark Webber yang sebelum itu merekodkan catatan kedua terpantas.

Webber yang hanya ketinggalan 0.08 saat (s) di belakang Schumacher (1:14.301s), bakal membuat penampilan di petak hadapan buat kali kesepuluh dalam kariernya setakat ini.

Rakan sepasukan Schumacher, Nico Rosberg akan memulakan saingan hari ini di petak kedua manakala pemandu sensasi McLaren, Lewis Hamilton berada di petak ketiga.

Ferrari gagal memberi saingan dalam perebutan petak hadapan apabila Fernando Alonso dan Felipe Massa masing-masing bakal berada di petak kelima dan ketujuh.

Pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel daripada pasukan Red Bull pula akan bermula di petak kesembilan.

Juara GP Sepanyol, Pastor Maldonado yang pada mulanya menamatkan sesi kelayakan semalam di tempat kesembilan turut ditimpa malang.

Ekoran insiden pelanggaran dengan Sergio Perez daripada pasukan Sauber, pemandu William itu dikenakan penalti 10 petak ke belakang. – Agensi