Saya masih jurulatih: Mat Zan

ISU Mat Zan Mat Aris dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kini tampak menuju kepada satu senario yang bakal mencetus kontroversi baru.

Bekas pengendali skuad Penyu itu tampil menyuarakan, semalam betapa dia tidak tahu langsung dengan keputusan dibuat badan induk itu mengenai statusnya apabila tempoh rehat ke atasnya dilanjutkan sehingga 31 Mei ini. Begitu juga isu kontrak kepadanya.

Apa yang mengejutkan Mat Zan ialah apabila dia menerima surat tunjuk sebab kemerosotan pasukan Terengganu daripada PBSNT yang ditandatangani Setiausahanya, Abdullah Salleh.

“Saya terkejut apabila menerima surat tunjuk sebab berhubung prestasi pasukan merosot daripada PBSNT bertarikh 14 Mei dan perlu menjawabnya sebelum 23 Mei ini. Saya sangka surat dihantar untuk membincangkan isu kontrak, tapi sebaliknya terjadi.

“Sebelum ini PBSNT merehatkan saya selama dua minggu atas alasan meredakan situasi berikutan desakan penyokong, tapi sekarang lain pula alasan diberi….walau apa pun terjadi, saya menegaskan sehingga kini saya masih lagi jurulatih Terengganu yang sah,” katanya yang dihubungi semalam.

Mat Zan beranggapan perkara itu dapat diselesaikan dengan baik sekiranya haknya dapat dipersetujui PBSNT dan apa yang diharapkan kini adalah mendapatkan bantuan daripada pihak yang lebih arif untuk meleraikan kemelut itu.

Kelmarin, PBSNT mengumumkan Peter Butler sebagai jurulatih baru menggantikan Mat Zan dengan menandatangani kontrak selama 18 bulan bermula 1 Jun ini dan diberi kebenaran membimbing skuad Penyu.