Sarawak tak mahu lawan FAM

KUCHING – Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak akan tunduk kepada tekanan penyokongnya supaya ia keluar daripada bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran perbalahan berhubung keganasan segelintir penonton bola sepak negeri ini.

Sebaliknya, FAS meminta para penyokong bola sepak Sarawak bersabar kerana pihak pengurusan persatuan itu masih dalam proses untuk mengatasi sebarang masalah yang sedang dihadapi persatuan bola sepak tersebut.

Pendirian FAS itu sekali gus menutup khabar angin bahawa persatuan berkenaan akan mengulangi tindakan sama pada tahun 1989 apabila ia keluar daripada FAM sebelum kembali pada 1992.

Presiden FAS, Sudarsono Osman memberitahu sidang akhbar di sini semalam bahawa langkah membawa FAS keluar daripada FAM bukan jalan penyelesaian terbaik.

Tegasnya, FAS akan menyelesaikan permasalahan dengan FAM melalui perundingan.

Ekoran keganasan penonton fanatik, baru-baru ini Sarawak diarahkan bermain di stadium tanpa kehadiran penyokong dalam empat perlawanan Liga Super.

“Saya menasihatkan semua peminat supaya bertenang dan biarkan FAS mengatasi isu ini dengan cara kami sendiri.

“Sokongan yang tidak berbelah bahagi ditunjukkan oleh penyokong skuad Sarawak pada musim ini apabila mereka kembali memenuhi stadium bagi menyokong pasukan kesayangan mereka beraksi,” katanya.