Ronaldinho tekad robek Kelantan

“SAYA tidak gentar berdepan pasukan terbaik di Malaysia, misi saya hanyalah untuk membantu Sime Darby menjulang Piala FA musim ini.”

Demikian amaran penyerang import sensasi Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh kepada pasukan Kelantan menjelang aksi final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Sime Darby berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menundukkan juara musim lalu, Terengganu menerusi agregat 2-1.

Lebih manis, Sime Darby melakarkan sejarah baharu bola sepak tempatan apabila muncul sebagai pasukan berstatus kelab pertama untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Mengulas lebih lanjut, Ronaldinho menegaskan dia sudah memberikan aksi yang terbaik dengan Sime Darby dan tidak mahu memikirkan soal status kedua-dua pasukan.

Katanya, dia berpegang dengan prinsip bahawa tiada yang mustahil dalam bola sepak dan semua pasukan memiliki peluang untuk bergelar juara.

“Saya sudah bersedia untuk menentang Kelantan. Bagi saya, tiada istilah pasukan gergasi sebaliknya kami harus bekerja lebih keras jika mahu merealisasikan impian untuk muncul juara baharu Piala FA.

“Sebenarnya tiada yang mustahil di dalam bola sepak. Selain Kelantan, kami juga mempunyai kualiti untuk muncul juara dan kami perlu yakin dengan kebolehan kami sendiri.

“Kami mahu menjadikan Sime Darby sebagai kelab pertama dari Liga Premier untuk menjulang Piala FA dengan menampilkan aksi yang hebat pada perlawanan akhir itu nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang sering memberikan bantuan di atas padang dan sokongan kepada saya.

“Kami tetap optimis tetapi dalam masa yang sama, kami tidak boleh terlalu yakin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Pusat Latihan Agro Bank Bangi, kelmarin.

Penyerang Liberia itu menambah, dia yakin skuad kendalian Ismail Zakaria itu mampu mencipta kejutan dengan memberikan tentangan hebat kepada Kelantan.

Jelasnya, selepas tewas 2-3 kepada Pahang dan Angkatan Tentera Malaysia (0-1), dia sudah bersedia untuk menjadikan The Red Warriors sebagai medan kebangkitan Sime Darby.

“Kekalahan pada aksi Liga Premier tersebut amat menyukarkan kami sekali gus menjadikan peluang untuk kami beraksi di Liga Super musim depan makin tipis.

“Tetapi, sekiranya kami berjaya muncul juara Piala FA, kami yakin ia mampu mengubati dua kekalahan tersebut dan saya berazam untuk menjadikan Kelantan sebagai mangsa kebangkitan Sime Darby,” katanya.