Reds berbincang dengan Martinez

Pengerusi Wigan Dave Whelan telah memberi kebenaran kepada Liverpool untuk berbincang dengan pengurus Roberto Martinez.

Pasukan Anfield itu sedang mencari pengurus berikutan pemecatan Kenny Dalglish dan Whelan memberitahu Sky Sports News pada hari Khamis: “Jika Liverpool benar-benar mahukannya, mungkin saya akan kehilangan beliau.”

Whelan sentiasa berkata beliau rasa pengurus dari Sepanyol itu akan menjadi pengurus salah satu kelab utama di Eropah dan beliau tidak akan menghalang Martinez jika ia berlaku.
Pengerusi Wigan itu mendedahkan pasukan Reds telah membuat pendekatan kepada Martinez pada hari Khamis dan beliau memberi Martinez kebenaran untuk berbincang dengan mereka.

“Apabila mereka menelefon saya, saya sedang bersama Roberto di sebuah mesyuarat berbincang tentang matlamat kami untuk musim depan,” katanya.

“Saya telah berjanji kepada Roberto dan saya selalu berkata jika sebuah kelab besar mahukan beliau, beliau akan mempunyai kebenaran untuk berbincang dengan mereka dan Liverpool adalah sebuah kelab besar.

“Saya telah membenarkannya bercakap dengan mereka dan akan berbincang dengan mereka tidak lama lagi – saya tidak tahu bila, tetapi tidak lama lagi.

“Apabila Liverpool memecat Kenny, saya memang dapat rasakan Liverpool akan buat pendekatan kepada Martinez.

“Saya mahu dia kekal di sini tetapi Roberto mempunyai kebenaran saya untuk berbincang dengan Liverpool.”

Martinez adalah di antara beberapa pengurus yang akan berbincang dengan Liverpool tetapi beliau tidak mempunyai banyak sokongan untuk menggantikan Dalglish.

Ramai yang mengatakan beliau tidak mampu mengurus sebuah kelab besar seperti Liverpool, memandangkan beliau hanya mempunyai pengalaman di Wigan dan Swansea sebelum ini.

Walaubagaimanapun, kejayaan beliau di Stadium DW – terutamanya musim ini apabila pasukan Latics mengakhiri musim dengan baik dengan tujuh kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir untuk selamat dari penyingkiran sekali lagi – dicapai dengan tidak membelanja banyak dan dengan pemain-pemain yang tidak sehebat pemain Liverpool.

Whelan tidak mempunyai keraguan tentang pencapaian Martinez, yang menolak pendekatan Aston Villa musim panas lalu, dalam tiga musimnya di Wigan.

Tetapi dia tahu jika FSG memutuskan beliau adalah pengurus paling sesuai untuk membawa Liverpool ke hadapan, beliau tidak akan berkuasa untuk menghalangnya.

“Saya ingin Roberto kekal di sini. Dia telah membawa pemain-pemain muda ke sini dan adalah seorang pengurus yang benar-benar hebat,” tambah beliau.

“Malangnya terdapat dua atau tiga kelab yang sedang mencari pengurus baru dan saya rasa Roberto ada dalam setiap satu daripada senarai mereka.