Projek terbaharu Awie, Wings

KALI terakhir kumpulan Wings muncul dengan album studio mereka adalah pada tahun 2002. Selepas itu, mereka hanya mengadakan persembahan pentas dan konsert. Bagi mengubati rindu peminat terhadap lagu-lagu mereka, Awie merancang untuk menghasilkan album baharu dengan kumpulan Wings.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44, dia dan Wings kini sedang sibuk mengumpul lagu-lagu yang terbaik bagi album baharu mereka.

“Sehingga kini kami masih lagi mengumpul bahan untuk album baharu kami dan apa yang menariknya untuk album kami kali ini kerana kami akan memuatkan semua lagu-lagu baharu,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum kerjasama Awie bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi bersama peminat Awie ke Beijing dan Mongolia yang diadakan di Royal Bintang The Curve, Petaling Jaya.

Mengakui cukup selesa bersama Wings, kata Awie, buat masa ini yang menjadi masalah buat kumpulan itu adalah mencari penulis lirik yang sesuai untuk lagu mereka.

Ulasnya, kebanyakan lagu yang mereka ada kini mempunyai melodi yang menarik tetapi mereka tidak mempunyai lirik yang hebat seperti yang terdapat dalam lagu-lagu lama mereka.

“Kebanyakan lagu kumpulan Wings sebelum ini liriknya dihasilkan oleh JS Kevin dan arwah Loloq. Lagu-lagu seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Intanku Kesepian dan Misteri Mimpi Syakila mempunyai lirik yang hebat dan menjadi lagu berhantu kepada peminat-peminat. Kami ingin mengembalikan fenomena seperti itu kepada peminat-peminat,” tuturnya.

Ditanya adakah dia dan Wings ingin memberikan nafas baharu pada lagu-lagu popular Wings untuk album baharu mereka nanti, ungkap Awie, setakat ini Wings masih belum membuat perancangan untuk memasukkan lagu-lagu lama di dalam album baharu mereka.

“Walaupun ada permintaan daripada peminat yang ingin mendengar semula lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu tetapi kami tiada sebarang perancangan untuk susunan muzik baharu bagi lagu-lagu lama Wings. Namun, pada masa akan datang tak tahu lagi. Kalau ikutkan, saya sebenarnya teringin juga menyanyikan lagu-lagu lama Wings yang diberi nafas baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang terkenal dengan watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu juga bakal bekerjasama sekali lagi dengan pengarah, Mamat Khalid untuk filem baharu yang berjudul Amukan Frankenstein Tempatan.

Masih berkonsepkan cerita komedi, bagaimanapun menurut Awie, cerita itu bukan kesinambungan kepada filem Hantu Kak Limah Balik Kampung atau Zombie Kampung Pisang.

“Walaupun berkonsepkan komedi seram, cerita ini bukan kesinambungan cerita-cerita komedi seram Mamat Khalid sebelum ini. Sekali lagi saya akan bekerjasama dengan Mamat Khalid dan jangan salah faham pula saya hanya menerima tawaran daripadanya saja. Saya cuma serasi bekerjasama dengan Mamat,” ulas Awie yang baharu memenangi gelaran Aktor Terbaik bagi kategori Teater Muzikal BOH Cameronian Arts Awards 2012.

Duta pelancongan

Sementara itu, Awie baru saja menandatangani memorandum kerjasama bersama Arlief Event & Management, sebuah syarikat pengurusan majlis untuk misi ekspedisi ke Mongolia dan Beijing bersama peminat bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Ekspedisi kembara berkonsepkan percutian itu semestinya sesuatu yang tidak harus dilepaskan kerana peserta bukan saja akan menjelajah destinasi menarik, malah peluang beramah mesra dengan Awie sepuas-puasnya.

Menurut Pengarah Arlief Event & Management, Muhammad Alif Haziq Azman, pemilihan Awie untuk ekspedisi itu adalah kerana dia merupakan artis popular yang memiliki jutaan peminat.

“Awie seperti yang kita tahu ada pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air. Saya juga antara seorang peminat setianya sejak daripada kecil lagi. Ini merupakan projek kali pertama syarikat saya dan saya teruja dan gembira kerana Awie bersetuju untuk terbabit dalam projek julung-julungnya syarikat saya.

Jelas Muhammad Alif, pelbagai aktiviti sudah disusun untuk sesi jelajah ke Beijing dan Mongolia nanti namun buat masa ini kami mengalukan sambutan daripada sesiapa yang berminat untuk menyertainya,” katanya.

Menyasarkan seramai 200 peserta, Alif memberitahu, selain dapat meluangkan masa bersama Awie, peminat yang menyertai ekspedisi itu juga berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik yang terdapat di Beijing dan Mongolia.

Percutian selama enam hari lima malam itu menawarkan pakej berpatutan iaitu sebanyak RM2,990 seorang.