Polis minta konsert Lady Gaga dibatalkan

JAKARTA – Konsert Lady Gaga dijadualkan diadakan pada 3 Jun depan.Bagaimanapun, polis masih belum memutuskan sama ada 40,000 orang pemegang tiket akan dibenarkan menonton konsert tersebut.

“Permit konsert itu dikeluarkan Polis Nasional Indonesia,” kata jurucakap polis Jakarta, Rikwanto.

Bagaimanapun, pihak polis bandar raya Jakarta tidak mengesyorkan konsert tersebut diadakan.

“Kami masih membincangkan (tentang pengeluaran permit konsert itu),” kata jurucakap Polis Nasional Indonesia, Rafli Amar kepada portal berita Beritasatu.com.

Menurutnya, konsert itu akan diadakan pada bulan depan menyebabkan pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan mengeluarkan permit.

Pasukan Pembela Muslim mendesak polis untuk membatalkan konsert itu bagi mengelak konflik antara kumpulan Islam dengan para peminat Lady Gaga.

“Kami meminta Polis Nasional Indonesia untuk menimbangkan tentangan orang awam terhadap konsert Lady Gaga,” kata pengerusi lembaga pasukan itu, M. Mahendradatta.

Menurutnya, penyanyi itu mempromosi pemujaan ke atas syaitan dan akan menjejaskan moral golongan muda.