Perompak ditinggal rakan dicekup

ALOR GAJAH – Tiga penjenayah bukan saja tersilap sasaran memilih rumah untuk dirompak malah terpaksa lari bertempiran apabila ditembak tuan rumah sebelum sempat menggeledah rumah tersebut.

Lebih malang, dua daripada mereka cedera ditembak pemilik rumah itu dengan seorang daripada mereka berjaya diberkas. Suspek itu diberkas ketika mengerang kesakitan di kawasan lapang tidak jauh dari rumah mangsa selepas ditinggal rakan-rakannya.

Sebelum itu, tiga penjenayah Indonesia itu menceroboh rumah seorang petani, Mohd. Shamir Fauzi, 28, di Pantai Belimbing, Durian Tunggal di sini.

Sebelum kejadian pukul 4 pagi, Shamir berkata, dia bersama isterinya, Azarita Abd. Rahim, 28, serta anak mereka, Mohamad Reza Fauzi, 4, berada di dalam bilik.

Turut berada di rumah itu, ibu Shamir, Nory Md. Noor, 58, yang tidur di bilik lain.

“Isteri saya ketika itu tidak tidur kerana Reza meragam.

“Saya yang tidur kemudian dikejutkan Azarita apabila dia terdengar bunyi tombol pintu yang dikunci cuba dipusing selain nampak bayang-bayang melalui bawah pintu bilik,” cerita Shamir ketika ditemui di rumahnya itu.

Kata petani itu yang telah mendiami rumah tersebut sejak 21 tahun lalu, dia kemudian mengambil senapang patah dalam bilik tidurnya lalu mengisi dua butir peluru sebelum membuka pintu bilik tersebut.