Perlawanan antara Kelantan dan Johor FC ditunda ke 26 Mei

KOTA BAHARU: Perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Johor FC yang dijadual pada 15 Mei ditunda ke 26 Mei, kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Katanya, penundaan perlawanan itu diluluskan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) mengemukakan rayuan.
Beliau berkata pihaknya membuat rayuan tersebut bagi memberi masa kepada pemain untuk bersama peminat skuad ‘The Red Warriors’ menjelang perlawanan akhir Piala FA pada 19 Mei ini.

“Kita berterima kasih kepada FAM yang memberi pertimbangan dan meluluskan permohonan kita untuk menunda perlawanan tersebut.

“Sekurang-kurangnya ada ruang selama seminggu selepas perlawanan akhir Piala FA sebelum kita beraksi pada pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian kedai sukan Al-Jabbar Sport, di sini, hari ini.

Azman berkata, keputusan itu juga memberi masa sekurang-kurangnya lima hari kepada pemain Kelantan bersama peminat selepas perlawanan menentang PKNS FC pada 11 Mei ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya kini berada dalam keadaan tertekan untuk membayar bonus kepada pemain berikutan kehadiran peminat ke stadium semakin berkurangan berbanding tahun lepas. – Bernama