Percutian berdarah

KUALA KUBU BHARU: Dua penumpang dan pemandu sebuah bas persiaran mati dalam keadaan mengerikan apabila kenderaan itu terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan sebelum terbalik di Kilometer 434, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Beruntung, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, bas berkenaan membawa 48 penumpang iaitu rombongan penduduk kampung sekitar Chenderiang, Perak yang dalam perjalanan bercuti ke Melaka.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa yang terbunuh ialah ialah Tok Batin Orang Asli Kampung Sungai Balik, Chenderiang, Setapa a/l Mat, 46; seorang lagi peserta rombongan dikenali sebagai K Vimala, 58, dan pemandu bas, S Velmurugu, 44.

“Kemalangan itu menyebabkan dua mangsa (Setapa dan Velmurugu) tersepit di bawah bas dan seorang wanita (Vimala) tercampak keluar. Punca kejadian masih dalam siasatan. Ketika kejadian cuaca baik dan tidak hujan,” katanya.

Menurutnya, Setapa maut dalam keadaan perutnya terburai akibat dihempap bas yang terbalik, Vimala putus kepala dan tangan manakala Velmurugu cedera parah di kepala dan mati.