Pemain Ireland dapat ugutan bunuh

LONDON: Pemain sayap Republik Ireland, James McClean menerima ugutan bunuh selepas namanya tersenarai dalam skuad Euro 2012 kendalian Giovanni Trappatoni.

McClean beraksi untuk skuad bawah 21 Ireland Utara, wilayah jajahan British, tetapi mengambil keputusan kontroversi untuk ‘menyeberang sempadan’ dan memulakan karier senior antarabangsa bersama republik merdeka itu.

Pemain 23 tahun yang bintangnya semakin bersinar bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Sunderland, disenaraikan dalam skuad senior Trappatoni Isnin lalu selepas hanya beraksi sekali sebagai pemain gantian untuk pasukan berkenaan.

McClean dalam kenyataan di laman Twitternya berkata: “Rasa bangga dan gembira tak terkata dipanggil untuk mewakili negara saya di Euro. Tidak ada perasaan lebih baik.”

Kemudian dalam temuramah dengan Mail McClean memberitahu: “Dipanggil mewakili Ireland sentiasa menjadi impian peribadi saya dan dapat bergandingan dengan pemain yang menjadi idola saya, cukup istimewa.

“Saya tidak sabar untuk menyertai skuad dan memberi tumpuan kepada kejuaraan.” Undang-Undang Ireland membenarkan sesiapa yang dilahirkan di Ireland Utara untuk mewakili Republik Ireland.

Penyenaraian McClean disambut dengan reaksi bercampur – sokongan, cacian dan juga ugutan bunuh.
Sebahagian besar penduduk Ireland Utara adalah penganut Protestant, manakala puak Katolik adalah minoriti, tetapi di Republik Ireland keadaan adalah sebaliknya.

Polis Ireland Utara memberitahu BBC kelmarin: “Kami tidak menyiasat kes individu, tetapi jika kami menerima maklumat yang nyawa seseorang dalam bahaya, kami akan memaklumkan kepadanya. -AFP