Pemain Indonesia ugut mogok

Masalah bola sepak di Indonesia kelihatan masih lagi kritikal dengan badan induk bola sepak negara itu masih berkemungkinan diharamkan oleh FIFA.

Isnin lepas, ahli Persatuan Bola Sepak Profesional Indonesia (APPI) telah menyatakan beberapa isu yang dikatakan mustahak dalam bola sepak domestik negara itu.

Antara yang hadir dalam mesyuarat pemain pada hari itu adalah kapten semua pasukan di Indonesia. Namun, Safee Sali tidak menghadirkan diri kerana harus kembali ke Malaysia untuk tugas bersama pasukan kebangsaan.

Pertamanya, mereka mengugut untuk mogok jika 13 kelab dalam Premiera Liga Indonesia (IPL) dan juga Liga Super Indonesia (ISL) gagal membayar gaji yang ditangguh kepada pemain sebelum 7 Jun.

“Jika pada hari itu para pemain masih lagi belum menerima gaji mereka seperti yang dinyatakan dalam kontrak, kami akan membawa perkara ini kepada mahkamah undang-undang,” kata presiden APPO Ponaryo Astaman.

Tambahnya lagi: “Jika rundingan dengan kelab-kelab tersebut gagal, pilihan terakhir kami adalah kami akan melakukan mogok.”

Kelab-kelab yang gagal membayar gaji pemain selama beberapa bulan adalah Persija Jakarta, Persema Malang, Persibo Bojonegoro, PPSM Magelang, Bontang FC, Persijara Banda Aceh dan PSM Makassar yang merupakan dalam IPL.

Kelab-kelab dalam ISL pula adalah Sriwijaya FC, Persela Lamongan, Arema Indonesia, Persija Jakarta dan teramsuk juga kelab pemain Malaysia, Safee Sali, Pelita Jaya.

APPI walaubagaimanapun tidak menyatakan berapa banyak jumlah gaji yang dihutang oleh kelab kepada pemain. Pihak kelab juga enggan memberi ulasan.

Masalah kelewatan pembayaran gaji ini adalah sesuatu yang sudah biasa berlaku di Indonesia. Kelab-kelab pada mulanya akan ‘menggoda’ pemain dengan kontrak yang lumayan tetapi selalunya gagal menepati apa yang dijanjikan.

Walaupun mogok APPI tidak akan melingkupkan mana-mana liga kerana keahliannya dilaporkan kurang dari 50 pemain, ia bagaimanapun melibatkan pemain seperti Bambang Pamungkas, Maman Abdulrahman dan Firman Utina.

Selain itu, terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa pemain import Liga Super Indonesia (ISL) tidak dibenarkan memiliki visa pekerjaan dan hanya mampu memiliki visa pelawat.

Para pemain juga menggesa Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka secepat mungkin.

“Kami mahu satu liga dalam negara ini yang diiktiraf oleh FIFA. Kami sudah letih dengan unsur dualism dalam liga dan PSSI. Kami mahu semua pemain bola sepak bersatu untuk Indonesia.”

Pada bulan Mac lepas, FIFA memberi PSSI sehingga 15 Jun untuk menyelesaikan masalah mereka atau mereka akan diharamkan dari menyertai pertandingan antarabangsa.

Jika PSSI diharamkan oleh FIFA pada 15 Jun ini, pemain yang beraksi dalam liga Indonesia tidak dibenarkan beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka.