Peluang kedua peniaga yang diisytihar bankrap

SHAH ALAM – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU) menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung had minimum jumlah hutang yang gagal dibayar bagi membolehkan petisyen kebankrapan ditingkatkan kepada RM50,000 sebagai sinar baru dan peluang kedua kepada golongan peniaga.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pengumuman dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong itu antara usaha terbaik kerajaan menangani isu lambakan individu yang diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi di Negara.

Menurut Sohaimi, rekod dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh lima tahun dari 2007 hingga Mac 2012 menunjukkan sebanyak 10,203 kes daripada 85,175 kes kebankrapan melibatkan golongan peniaga.

“Cadangan ini merupakan satu transformasi yang dilakukan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dan perlu disegerakan perlaksanaannya bagi membantu rakyat di negara ini keluar daripada belenggu kebankrapan,” katanya.

Sohaimi turut menyarankan agar pihak Jabatan Insolvensi Malaysia mengadakan kajian terperinci berhubung isu ini dan mengambil langkah drastik memastikan golongan sasaran mendapat manfaat sepenuhnya.

“Prosedur bagi mengeluarkan nama individu yang terlibat daripada senarai bankrap perlu diperkemas dan dipermudahkan bagi mengurangkan karenah birokrasi.

“BePU juga ingin mencadangkan agar pihak Jabatan Insolvensi Malaysia menubuhkan satu unit runding cara khas yang akan berperanan sebagai pemudah cara dan pusat rujukan informasi,” katanya.

Menurut beliau, unit itu bertindak sebagai perunding cara kepada individu yang telah diisytiharkan bankrap mendapatkan bimbingan dan panduan berguna agar mereka dapat keluar daripada status bankrap.

Sohaimi berkata, unit itu juga dilihat dapat membantu orang ramai khususnya golongan peniaga membuat pelarasan semula liabiliti dan aset mereka sekali gus beri peluang kedua kepada golongan ini untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.