‘Mustahil jika City gagal menang EPL’

MANCHESTER: Roberto Mancini menegaskan adalah ‘sesuatu yang mustahil’ untuk melihat anak didiknya melepaskan peluang mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris kali apabila menentang Queens Park Rangers dalam perlawanan amat penting di Stadium Etihad, malam ini.

“Saya percaya 100 peratus kepada setiap pemain bakal diturunkan nanti. Mereka tahu segala-galanya terletak di tangan mereka,” kata pengurus skuad The Citizen itu.

Apa yang pasti anak didik Mancini mengerti gelaran adalah milik mereka dengan kemenangan yang lebih baik daripada United yang menentang Sunderland.
Pengurus berbangsa Itali itu yakin, ia adalah sesuatu yang baik untuk EPL jika City berjaya meraih kejuaraan pertama paling besar bagi mereka dalam tempoh 44 tahun.

“Kadang kala, ia bagus untuk kejuaraan jika terdapat pasukan lain yang bukan pasukan kebiasaan seperti yang disaksikan sejak 10 tahun lalu,” kata Mancini, apabila ditanya sama ada ia bagus jika City menang kejuaraan itu.

“Pemain saya sedar bahawa mereka mempunyai segala-galanya di situ. Mereka berusaha keras dan bertarung setiap perlawanan selama setahun dalam satu kejohanan yang begitu sukar. Kini, mereka mempunyai satu peluang besar.

“Kami sudah membuktikan bahawa kami sebuah pasukan yang kuat dengan mentaliti yang bagus dan saya rasa kami akan melakukan yang sama pada Ahad (hari ini).” – AFP