Muller sandaran Filipina

SKUAD kebangsaan Filipina menyandarkan harapan kepada penjaga gol simpanan, Roland Muller untuk memastikan gawang mereka tidak dibolosi apabila berdepan Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, esok.

Laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memetik ketua jurulatih Filipina, Michael Weiss yang tidak risau ketiadaan penjaga gol utama, Neil Etheridge dkibat digantung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana memiliki barisan pemain yang boleh mengisi kekosongan tersebut.

“Kami mempunyai pemain yang ramai dan boleh memberi pemain lain peluang. Kami akan membariskan pemain terbaik,” kata pakar taktikal dari Jerman itu.

Pasukan kebangsaan Filipina atau dikenali sebagai Azkals akan menentang skuad Malaysia bimbingan Datuk K Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Selain ketiadaan Etheridge, Filipina kehilangan khidmat adik-beradik, Phil dan James Younghusband berikutan komitmen mereka.

Bagaimanapun, pasukan itu mempunyai Patrick Deyto, Stephan Schrock dan Denis Wolf bagi mengisi kekosongan itu.

Selepas perlawanan menentang Malaysia, skuad kebangsaan Filipina berdepan Indonesia di Manila pada 5 Jun dan Guam di Panaad, 12 Jun. – Bernama