Metalasia Kembali

Bermulanya sebuah epik baru bagi Metalasia apabila kini bersiap siaga untuk album baru yang penuh kesaktian purbakala ditilik di relung pancawarna delima sakti!

Album ketiga itu sudah mula dirakamkan pada hujung tahun lalu di Tricastle Studio, Selangor dan dijangka memuatkan 10 atau 11 buah lagu yang masih dihelakan dengan speed/thrash/heavy/power metal dengan unsur-unsur progresif! Lagu yang sudah siap dirakamkan itu berjudul ‘Perjanjian Nyawa’ dan semua lagu dikarang dalam bahasa ibunda – alat pertuturan yang digunakan lidah moyang dan umat primitif di gugusan Nusantara!

Ketua kumpulan, komposer dan gitaris Metalasia, King Shah memberitahu, rakaman album baru itu dihentikan seketika kerana puterinya, Raja Nur Kamilia, 12 tahun, telah kembali mengadap penciptaNya buat selama-lamanya pada awal April lalu. King Shah kini berkabung atas pemergian puterinya ke rahmatullah.

 “Buat masa ini rakaman album Metalasia dihentikan untuk seketika kerana aku tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan,” katanya yang masih tidak stabil emosi dan kesemua line-up iaitu Sam Maya (dram), Sham Stalin (kibod), Iwan Bakar (bass) dan Muix (vokal) amat memahami keadaannya yang berduka lara dengan kehilangan permata hati.

 “Sepatutnya kira rakamkan empat lagu lagi awal tahun ini tetapi apabila anak aku jatuh sakit maka terpaksa ditangguhkan. Muzik kami memang masih sama tetapi turut menjanjikan kelainan yang merupakan evolusi Metalasia. Album baru kami masih tidak mempunyai tajuk tetapi sebuah album konsep dan kesinambungan daripada tema album sebelum ini.

 Label mana yang akan mengeluarkannya pun masih tidak tahu, ini kerana semuanya masih di peringkat awal,” ujar King Shah lagi. Metalasia aktif semula pada 2010 dan muncul dalam ‘KL Metal Camp 2011 selain pernah beraksi di Singapura dan satu-satunya band Malaysia yang beraksi di kepulauan Maldives!!! Pernah mengeluarkan dua album iaitu ‘Khalifah Alam Maya’ (1999) dan ‘Silantra… Bermulanya Sebuah Epik’ (2002).