MB Selangor tak faham isu air – Noh

SHAH ALAM – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, dakwaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa air di Selangor mencukupi menunjukkan beliau tidak faham isu air di negeri itu atau cuba bermain politik.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi, Barisan Nasional Selangor berkata, apa yang dibangkitkan oleh kerajaan Persekutuan mengenai kadar rizab air di Selangor yang tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya pada 20 peratus ialah rizab air terawat bukannya kapasiti air mentah di tujuh empangan di Selangor.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Wanita UMNO Selangor di sini semalam.

Beliau menjawab kenyataan Abdul Khalid yang mempelawa menteri Persekutuan melawat empangan di Selangor bagi membuktikan bahawa air di negeri itu mencukupi.

Oleh itu, Noh berkata, beliau sanggup menerima cabaran Abdul Khalid supaya melawat empangan itu dengan syarat Menteri Besar sanggup meminum air daripada empangan itu.