Mati dibelasah penyamun

IPOH – Seorang jurukimpal yang koma selepas ditetak dengan senjata tajam dan dibelasah teruk oleh empat penyamun di Taman Rishah di sini kelmarin disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam.

Song Chee Heng, 55, disahkan mati pada pukul 11 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut.

Kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang dari rumah bapanya di taman berkenaan didatangi empat suspek yang menaiki dua buah motosikal lalu cuba menyamunnya.

Mangsa kemudian berlari menuju ke sebuah rumah untuk menyelamatkan diri sebelum kesemua suspek yang berjaya menyamun dompet dan telefon bimbitnya membelasahnya.

Bagaimanapun, ketika hendak melarikan diri, suspek terserempak dengan seorang penduduk, Chuah Wee Keong, 59, yang cuba menahan mereka.