Mancini pengaruhi pengadil

MANCHESTER: Digamit perasaan penuh emosi, pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson melontar tuduhan betapa rakan sejawatannya, Roberto Mancini cuba mempengaruhi atau memujuk pengadil selepas bertelagah di tepi garisan dengan bos Manchester City, awal pagi semalam.

Ferguson dan Mancini terpaksa dileraikan semasa insiden tuding menuding jari pada minit ke-76 di Stadium Etihad yang menyaksikan City kini memiliki kelebihan memenangi perlumbaan merebut mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 1-0.

Kapten City, Vincent Kompany muncul wira pasukan dengan gol tunggal hasil tandukan pada minit ke-45.
Ferguson dilhat melompat daripada tempat duduknya membantah tindakan Nigel De Jong yang mengasari pemain gantian United, Danny Welbeck.

Pengurus United berusia 70 tahun itu kemudian menuduh Mancini mengganggu pegawai sepanjang perlawanan yang disifatkan penentuan untuk kejuaraan.

“Mancini mengganggu pengadil dan pegawai keempat sepanjang perlawanan,” kata Ferguson. “Dia sering merungut mengenai pengadil sepanjang minggu, tetapi dia tidak boleh merungut kali ini.”

Bagaimanapun Ferguson mempunyai beberapa rungutan mengenai kekalahan itu yang menyaksikan dia mengakui City kini mempunyai kelebihan memenangi kejuaraan.
“Kami gagal menguji penjaga gol mereka sepenuhnya, kami bermula baik dan dalam 15 minit pertama kami menguasai saingan, tetapi kami tidak bernasib baik apabila dibocori sebelum tamat separuh masa,” kata Ferguson, yang menyaksikan barisannya hanya mengutip empat daripada 12 mata dari empat perlawanan terakhir mereka.

Sementara itu, Mancini enggan meneruskan perbalahan dengan Ferguson.

“Saya bercakap dengan pegawai keempat perlawanan, dia memberitahu saya dengan beberapa patah perkataan, saya menjawabnya dan selesai,” kata Mancini, yang bersalam dengan Ferguson selepas wisel penamat.

Dia juga ketawa dengan tuduhan Ferguson bahawa dia cuba mempengaruhi pegawai perlawanan.

“Dan dia? Tidak? Dia tidak pernah bercakap dengan pengadil, tidak, tidak pernah,” kata Mancini secara sinis. – AFP