Malaysia Bangkit Ikat Korea

IPOH – Malaysia bangkit untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam perlawanan pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-21 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Pemain remaja negara, Faisal Saari menafikan hasrat Korea Selatan untuk mencatat kemenangan apabila dia menjaringkan gol penyamaan ke-56, setelah pasukan lawan mendahului menerusi jaringan Seo Jong Ho pada minit kelapan.

Mengulas keputusan perlawanan, jurulatih Tai Beng Hai berkata, dia berpuas hati apabila anak buahnya bangkit setelah ketinggalan untuk mengikat Korea Selatan, pasukan yang mengalahkan Malaysia 2-3 pada Kelayakan Olimpik di Dublin, Mac lalu.

Katanya, lebih membanggakan pemain negara mengetepikan status ranking Korea Selatan yang lebih baik iaitu pada kedudukan keenam dunia, berbanding skuad negara pada ranking ke-13 dunia.

“Saya anggap ini persembahan luar biasa oleh pemain kerana berjaya bertahan terutama pada 10 minit terakhir perlawanan ketika mengasak serangan lawan yang cuba mencari gol kemenangan.

“Keputusan seri ini lebih daripada memadai jika mengambil kira kedudukan ranking yang begitu jauh di antara Malaysia dan Korea Selatan.

“Pujian juga harus diberikan buat pemain skuad remaja yang disenaraikan pada kejohanan kali ini kerana berjaya menggalas tugas diberikan,” kata Beng Hai selepas perlawanan.

Mengenai pertembungan dengan Britain hari ini, Beng Hai berkata, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai corak permainan terbaru pasukan itu.

“Untuk perlawanan esok (menentang Britain) kita akan beraksi seperti hari ini dengan mengetepikan status ranking pasukan lawan yang jauh lebih baik (ranking No. 4 dunia),” katanya.

Sementara itu, naib juara tahun lalu, Pakistan tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Argentina 4- 2 dalam perlawanan pembuka tirai kejohanan.