Lepasan SPM wajib sertai PLKN?

KUANTAN 24 Mei – Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan kesemua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja yang berusia 18 tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pengerusinya, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, syor itu dibuat kerana pihaknya mendapati PLKN merupakan program berkesan dalam mendisiplinkan golongan remaja yang menyertainya.

“PLKN merupakan program yang lengkap. Ia mengajar mengenai disiplin, tentang sejarah kerajaan, sistem pentadbiran kerajaan dan sehingga kini maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program ini cukup memberangsangkan.

“Ini telah memberi dorongan kepada kita (Anggota Majlis MLKN) untuk syorkan kepada kerajaan supaya mewajibkan program PLKN,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kem PLKN Hijrah, di Penor di sini hari ini.