Krew kapal Wantas dibawa pulang

SHAH ALAM – Krew kapal milik Wantas Shipping Sdn Bhd yang dihanyutkan ke perairan Vietnam selepas kapal itu dirampas lanun di Laut China Selatan pada 17 April lalu, dibawa pulang ke tanah air, hari ini.

Mereka adalah Yusseri Yusof, 24, berasal dari Tanjung Dawai, Kedah dan Lau Kah Chong, 36, dari Sarawak.

Dua warga Banglades juga dibawa pulang, M Khorshed Alam dan Md Elias Uddin, manakala tiga lagi krew kapal warga Indonesia sudah dihantar pulang ke negara asal.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kelab Putera 1Malaysia, mereka dijangka tiba, kira-kira jam 7 malam di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT).

Sebelum ini, akhbar melaporkan kapal yang bermuatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit dirampas lanun.

Kapal itu ditemui Pasukan Penguat kuasa Maritim Filipina di perairan negara itu berhampiran Kepulauan Palawan dengan kontenanya dipecahkan, manakala semua anak kapalnya hilang.

Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim) pula menemui tujuh lelaki iaitu krew kapal yang dihanyutkan dalam sebuah bot di 214 batu nautika dari Barat Daya Miri, Sarawak berhampiran sempadan perairan Malaysia-Vietnam.