Koo-Tan penentu kemenangan

WUHAN, China – Pemenang pertemuan antara Denmark dengan Malaysia pada kempen Piala Thomas di sini esok bakal ditentukan beregu utama Malaysia, Koo Kean Keat-Tan Boon Heong.

Demikian pengakuan pemain perseorangan Denmark, Jan O Jorgensen.

Melahirkan keyakinan bahawa Denmark akan memperoleh dua mata menerusi acara perseorangan, pemain berusia 25 tahun itu melihat peluang untuk pasukannya mengutip mata penting kemenangan adalah menerusi beregu pertama mereka yang juga beregu ketiga dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

“Prestasi Koo-Tan tidak berapa baik kebelakangan ini, jadi kami mempunyai peluang di situ (untuk mendapatkan mata),” katanya ketika ditemui ketika perlawanan peringkat kumpulan kempen Piala Thomas di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan semalam.

Pertemuan antara Denmark dan Malaysia yang bakal menentukan juara Kumpulan C dijangka sengit kerana kedua-dua pasukan mahu muncul juara kumpulan bagi mengelak berdepan pasukan pilihan yang juga juara bertahan, China pada suku akhir.

Satu lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan ialah pasukan bukan pilihan, Afrika Selatan.

Jorgensen bagaimanapun mengakui bahawa pasukannya bakal diberi tentangan hebat oleh pemain Malaysia yang terkenal dengan prestasi hebat mereka dalam acara berpasukan seperti pada kempen Piala Thomas ini.

“Pasukan kami tampil berbeza tahun ini. Kami terdiri daripada beberapa pemain muda yang dahagakan kemenangan untuk menjuarai kejohanan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Denmark memulakan kempen Piala Thomas mereka dengan cemerlang apabila mengalahkan Afrika Selatan 5-0 semalam.

Jorgensen yang bermain sebagai perseorangan kedua tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran lawannya, Willem Viljoen 21-7, 21-11 dalam masa 20 minit.

Pemain berpengalaman, Peter Hoeg Gade turut memberi mata kepada Denmark apabila menumpaskan Jacob Malieka 21-7, 21-6, manakala perseorangan ketiga Denmark, Viktor Axelsen menundukkan Prakash Vijayanath 21-4, 21-5.

Dua beregu Denmark juga tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan lawan masing-masing.

Boe-Morgensen mengalahkan Dorian Lance James/Willem Viljoen 21-12, 21-14, manakala Jonas Rasmussen/Petersen menumpaskan Prakash Viyajanath/Jacob Malieka 21-5, 21-5.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Thomas hari ini menentang Afrika Selatan. – Bernama