Kim Swee bangga dengan Nazmi Faiz

Jurulatih Harimau Muda Ong Kim Swee melahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian Nazmi Faiz yang telah mengikat kontrak dengan SC Beira-Mar.

Pemain Harimau Muda, Nazmi Faiz Mansor yang telah menjalani latihan bersama pasukan utama Liga Portugal minggu lepas telah secara rasmi menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan kelab itu.
Lebih membanggakan lagi apabila Nazmi yang baru berusia 17 tahun (18 tahun pada bulan Ogos) akan beraksi dengan pasukan liga utama Portugal dan mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di sana.

Ong Kim Swee yang kini bersama pasukan Harimau Muda A di Slovakia untuk membuat persiapan kelayakan Piala AFF Bawah-22 turut berbangga dan gembira dengan kejayaan anak buahnya itu.
“Saya sebagai jurulatih Nazmi semestinya berbangga dan gembira dengan pencapaian Nazmi yang berjaya mendapatkan kontrak dengan kelab SC Beira-Mar.” kata Ong Kim Swee.

“Secara jujurnya saya tidak terkejut bahawa Nazmi mampu ke luar negara tetapi ia sesuatu yang mengagumkan kerana dia mendapatkan kontrak dengan pasukan liga utama di Portugal.” katanya lagi.
Ong Kim Swee turut mengimbas kembali tentang kali pertama beliau menyaksikan Nazmi beraksi pada tiga atau empat tahun yang lalu.

Semasa Ong Kim Swee mengendalikan skuad kebangsaan Bawah-17, beliau telah berkesempatan untuk memerhatikan Nazmi Faiz yang sedang menjalani sesi pemilihan skuad Bawah-14 di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Saya telah memerhatikan Nazmi sejak tiga atau empat tahun lalu. Sejak itu saya percaya jika saya mempunyai peluang untuk memilikinya dalam pasukan saya, saya tidak akan ragu-ragu.

“Tujuh bulan lepas saya bawanya bersama untuk Sukan SEA di Indonesia dan semua orang terkejut kerana Nazmi hanya berusia 17 tahun. Ramai lebih terkejut apabila saya menurunkkanya bagi perlawanan dengan Thailand dan sejak itu dia telah dikenali dan mendapat perhatian ramai,” katanya lagi yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Mengikut peraturan, Nazmi Faiz hanya boleh beraksi bersama pasukan SC Beira-Mar pada bulan Ogos selepas dia berusia 18 tahun dan kini dia akan bersama skuad Harimau Muda A kembali untuk perlawanan persahabatan di Slovakia, Hungary dan China.

Kim Swee menambah: “Nazmi masih lagi pemain Harimau Muda setakat ini. Hari ini dia akan menyertai kami di Budapest dan akan bersama kami sehingga dia ke Portugal pada bulan Julai atau awal Ogos.
“Saya hanya akan mengetahui lebih lanjut lagi tentang kontrak tersebut apabila bertemu dengan ejennya, Marco hari ini.”

Kim Swee juga akui beberapa pemain Harimau Muda yang lain akan beraksi dengan pasukan di luar negara namun beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana mahu memberi perhatian kepada persiapan menjelang Kelayakan Piala AFF Bawah 22.

“Saya tidak menafikan bahawa beberapa pemain saya yang lain akan ke luar negara tetapi kami kini sedang membuat persiapan untuk Kelayakan Piala AFF Bawah-22 dan saya tidak mahu cerita pemain ke luar negara mengganggu persiapan kami.” katanya lagi.

“Saya faham ramai gembira dengan berita ini tetapi saya harap apabila kami tamat perlawanan persahabatan di Slovakia, Hungary dan China, cerita ini akan reda sebentar agar pemain dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kelayakan Piala AFF.”

Ong Kim Swee turut memberitahu bahawa beliau akan sentiasa menyokong dan mendorong Nazmi dari masa ke semasa.

“Tugas saya bukan hanya kepada Nazmi tetapi kepada semua pemain Harimau Muda. Ini adalah yang sentiasa dilakukan bukan sahaja saya tetapi pasukan pekerja saya yang terdiri daripada pakar nutrisi, psikologi dan lain-lain. Kami sentiasa membimbing mereka.

“Saya harapkan Nazmi terus berjaya dan tidak cepat leka. Dia harus tahu menjaga diri dan disiplin untuk pergi lebih jauh lagi.” tambah Kim Swee.