Khyril terpaksa terima hakikat tersingkir

“WALAUPUN berjaya mengikat Kelantan 2-2, kami terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada Piala FA musim ini. Bagi saya dan rakan, kami memohon maaf,” kata penyerang Hijau Kuning, Khyril Muhymeen Zambri selepas tamat separuh akhir kedua di Stadium Darulaman kelmarin.

Menurutnya, dia dan rakannya sudah beraksi habis-habisan bagi mencapai kejayaan seperti diharapkan 35,000 peminat yang membanjiri Stadium Darulaman serta ribuan peminat seluruh tanah air, tetapi apakan daya nasib lebih menyebelahi lawan mereka.

“Saya begitu teruja selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama walaupun gagal manfaatkan satu lagi peluang terbaik untuk menjadikannya hatrik. Tetapi segala-galanya berubah apabila lawan mendapat gol pertama sehingga dapat menyamakan kedudukan.

“Sekarang, tumpuan kami hanya kepada pertemuan menentang T-Team dalam saingan Liga Super, Sabtu ini,” katanya. “Kami terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada saingan, tetapi pengalaman dan pengetahuan yang diraih perlu diabadikan sebagai peringatan untuk saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti.”