Khyril geram gol dibatal

“SAYA rasa geram kerana penjaga garisan membatalkan jaringan pada saat akhir ketika bertemu T-Team di Alor Setar, Selasa lalu kerana saya mahu hadiahkan jaringan itu kepada ribuan peminat Hijau Kuning.

“Kerana itulah saya tekad mahu menggegar apabila bertemu Lions XII malam ini,” kata penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri.

Menurutnya, dia mahu menebus kekecewaan di Stadium Darulaman Selasa lalu dengan memastikan Kedah tidak pulang dengan tangan kosong dari Singapura selepas kecewa gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan lalu.

“Kami kecewa dua kali dalam tempoh beberapa hari (termasuk dikecewakan Kelantan dalam separuh akhir Piala FA). Kini tumpuan kami ialah mengutip mata penuh walaupun lawan adalah pendahulu Liga Super ketika ini.

“Kami sudah melupakan dua kekecewaan itu dan tidak mahu lagi berputih mata di Stadium Jalan Besar. Saya yakin ketua jurulatih Wan Jamak Wan Hassan juga ada strategi untuk perlawanan penting itu,” kata Khyril sambil berharap kemenangan di gelanggang lawan akan menyuntik semangat pemain untuk memperbaiki kedudukan di tangga ke-14 ketika ini.

Menurutnya, Lions XII bimbingan V Sundramoorthy bukanlah sebuah pasukan kebal kerana Kelantan dan Terengganu pernah membuktikan lawan boleh ditundukkan sebelum ini, dan Kedah perlu menampilkan corak dan semangat yang sama apabila turun ke padang.