Ketibaan pesawat A380 disambut meriah di KLIA

SUBANG – Pesawat sulung Airbus A380 Malaysia Airlines (MAS) telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.35 petang semalam setelah berlepas dari syarikat pengeluarnya, Toulouse, Peranchis kelmarin.

Ketibaan pesawat terbesar dunia yang turut membawa delegasi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya itu disambut dengan majlis yang meriah oleh kakitangan MAS.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, pesawat tersebut telah dipandu oleh Kapten Norshid Ali, Kapten Mohd. Seth Mohd. Ariff, Kapten Joseph Emuang Jr dan Kapten Sumar Lee Hashim Lee.

A380 yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 itu menyediakan ciri-ciri premium tiga kelas yang boleh membawa seramai 494 penumpang.