Kena pulangkan RM470,000

PUTRAJAYA – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M. Kayveas dan isteri, Datin Seri Blanche O’Leary perlu mengembalikan RM470,000 kepada sebuah syarikat kontraktor selepas Mahkamah Rayuan semalam menolak permohonan mereka bagi lanjutan masa untuk memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun lepas.

Dalam satu keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali juga memerintahkan kos RM3,000 dibayar kepada responden.

Dua lagi hakim ialah Datuk Balia Yusof Wahi dan Datuk Aziah Ali.

Pada prosiding semalam, peguam Murali Menon bagi pihak Kayveas dan Blanche, berhujah bahawa mahkamah perlu membenarkan anak guamnya merayu di luar jangka waktu terutamanya disebabkan tiada tindakan atau kecuaian peguam cara sebelumnya untuk memfail rayuan dalam masa ditetapkan.