Kelantan kecewakan Lions XII





FINALIS Piala FA, Kelantan terus memberikan tekanan kepada pendahulu Liga Super setakat ini, Lions XII selepas membenam pencabar itu, 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Di awal separuh masa pertama, tuan rumah terlepas peluang untuk mendahului Lions XII selepas sepakan penalti penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha ditangkap kemas penjaga gol lawan, Hyrulnizam Juma’at.

Selang 20 minit, giliran Lions XII mengasak gawang tuan rumah dan hampir berada di depan menerusi sepakan gunting kapten, Shahril Ishak namun ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat mengawal gawang Kelantan daripada dibolosi.

Kemasukan Indra Putra Mahayuddin di pertengahan babak kedua, menyuntik ketajaman barisan depan The Red Warriors untuk S Chanturu menjaringkan gol cantik pada minit ke-73, sebelum menambah dua lagi menerusi Norfarhan Mohamad (77) dan Rizal Fahmi Rosid (86).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu yang turun tanpa khidmat ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris ketika berdepan Perak, seperti tidak menghadapi sebarang masalah apabila mendahului seawal minit pertama menerusi Joseph Kalang Tie sebelum Mohd Rafiuddin Roddin menyamakan kedudukan pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Perak kembali menguasai perlawanan dan mendapatkan gol kedua menerusi penyerang import, Albert Dominique sebelum Hasmizan Kamarudin kembali mengikat kedudukan 2-2.

Di Stadium Likas, jaringan tunggal Rozaimi Abdul Rahman pada minit ke-20 membantu Sabahawks mengutip tiga mata penuh selepas membenam cabaran pasukan kelab, FELDA United 1-0.