Kejayaan paling manis

MELAKA – Jurulatih Muhammad Dhaarma Raj menyifatkan kejayaan skuad hoki remaja kebangsaan muncul juara menewaskan Pakistan 2-1 dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Remaja Asia Ketujuh kelmarin, cukup manis buatnya.

Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja melakar sejarah kejuaraan pertama dijulang oleh Malaysia sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1987 tetapi lebih penting pencapaian cemerlang itu diukir di tempat kelahirannya.

“Inilah saat paling manis buat saya dan ia bakal menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan.

“Di bumi Melaka tempat kelahiran saya, kejayaan yang kita nanti-nantikan selama 20 tahun selepas sekadar muncul naib juara pada 1992 di Ipoh, Perak menjadi realiti.

“Memang saya idamkan untuk kejayaan skuad hoki remaja kebangsaan melakar sejarah di Melaka,” kata Muhammad Dhaarma Raj anak kelahiran Bukit Cina dekat sini.

Dalam perlawanan akhir kelmarin yang disaksikan lebih 7,000 peminat, skuad projek 2013 mempamerkan aksi paling ampuh membenam juara tiga kali Pakistan menerusi kemenangan 2-1 di Stadium Hoki Bukit Serindit.

Dua gol jaringan, Faizal Saari di minit kedua dan Muhammad Syamim Mohd. Yusof di minit ke-18 sudah cukup menjamin gelaran juara buat skuad remaja kebangsaan apabila muncul negara keempat selepas Pakistan, India dan Korea Selatan bergelar juara Asia.

Mengulas kejayaan itu Muhammad Dhaarma Raj berkata, anak didiknya mempamerkan semangat kental menyaingi kelicikan pemain Pakistan.

“Babak pertama memang menjadi milik kita dan peluang mencipta jaringan tidak disia-siakan namun pada babak kedua nampak pemain terlalu selesa hingga memberi ruang kepada Pakistan,” katanya.

Ujarnya, sikap sambil lewa pemain yang mengamalkan corak bertahan berbekalkan dua jaringan di babak pertama hampir memakan diri.

Katanya, Pakistan menguasai babak kedua dengan serangan bertali arus namun hanya memperoleh satu gol jaringan Muhammad Irfan di minit ke-42.

“Mujurlah penjaga gol kebangsaan, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri beraksi cemerlang apabila berjaya menyelamatkan tidak kurang tiga peluang Pakistan untuk mencipta jaringan,” katanya.