Isu bahasa, Ahli Parlimen Ukraine bergaduh

KIEV 25 Mei – Sidang Parlimen Ukraine semalam gempar apabila Ahli-Ahli Parlimen bergaduh dan bertumbuk semasa membahaskan rang undang-undang membenarkan penggunaan bahasa Rusia di mahkamah, hospital dan institusi lain di negara ini.

Pergaduhan berlaku antara Ahli Parlimen pembangkang yang mahu Ukraine keluar dari bayang-bayang Rusia dengan Ahli Parlimen dari parti pimpinan Presiden, Viktor Yanukovych yang menyokong rang undang-undang itu.

Seorang Ahli Parlimen pembangkang, Mykola Petruk cedera di kepala dan dibawa ke hospital dalam keadaan muka berdarah.

Parti pembangkang mendesak satu siasatan diadakan berhubung pergaduhan tersebut.

Kejadian tersebut bukanlah yang pertama berlaku di Parlimen. Satu pergaduhan pada Disember 2010 menyebabkan sekurang-kurangnya enam Ahli Parlimen terpaksa dirawat di hospital.

Ia bermula apabila Ahli Parlimen kerajaan melempar kerusi dan menumbuk Ahli Parlimen pembangkang yang menghalang proses kelulusan rang undang-undang sepanjang hari.

Dalam pergaduhan pada April 2010, Speaker Parlimen terpaksa menggunakan payung untuk berlindung selepas Ahli Parlimen pembangkang melempar telur dan bom asap untuk membantah perjanjian tentera laut dengan Rusia.

Penduduk Ukraine berpecah kepada dua pihak, dengan yang tinggal di timur dan selatan negara ini serta berbahasa Rusia memilih untuk mempunyai hubungan rapat dengan Moscow, sementara penduduk di Barat dan berbahasa Ukraine mahu menyertai Barat. – AGENSI