Impak ditinggalkan Kerispatih

“SAKIT (sedih) sangat. Saya rasa lebih sakit ditinggalkan teman-teman Kerispatih daripada dipenjarakan akibat dadah!”. Itu luahan Sammy Simorangkir, bekas vokalis kumpulan Kerispatih dari negara seberang, Indonesia apabila kesemua anggota band popular itu sebulat suara membuat keputusan yang amat pahit buat dirinya.

Mereka mahu Sammy disingkirkan daripada kumpulan tersebut pada 8 September 2010 atas kesalahan dirinya yang memiliki dan menggunakan dadah jenis syabu.

Akui Sammy, enam bulan meringkuk dalam penjara, walaupun pada mulanya derita tetapi lama kelamaan dia boleh menyesuaikan diri.

“Semasa di penjara, sakitnya hanya seminggu. Dua minggu sudah terbiasa dan tiga minggu seterusnya sudah mempunyai teman. Tetapi, sehingga saat ini, saya masih lagi trauma dan sakit ditinggalkan teman-teman Kerispatih,” ujarnya jujur ketika ditemui pada pelancaran album solo pertamanya, Aku Kembali di Seduction Club & Live Bar, Kuala Lumpu baru-baru ini.

Pada 8 Februari 2010 juga, Sammy ditahan atas kesalahan menggunakan dan memiliki dadah jenis syabu. Dia sepatutnya menjalani hukuman selama lima tahun enam bulan dan didenda sebanyak 1 juta rupiah (RM332,829).

Bagaimanapun, Sammy dibebaskan lebih awal iaitu pada 8 September tahun lalu.

VOKAL Sammy ternyata masih sukses dalam memukau audiens.

Pemilik nama penuh Hendra Samuel Simorangkir, 30, itu juga mengakui bukan mudah untuk dia melalui detik hitam tersebut. Lima bulan Sammy mengambil masa untuk kembali semula ke dunia seni tetapi keyakinan dirinya masih tidak begitu kuat. Malah, sehinggakan setiap kali mengadakan persembahan solo di atas pentas dia akan gemuruh.

“Lelaki harus punyai prinsip. Apapun terjadi saya harus kembali. Walaupun bukan bersama kumpulan tetapi saya bisa gerak sendiri. Ya, saya akui tak mudah untuk bergerak sendiri sehinggakan lutut saya menggeletar saat menyanyi di atas pentas. Mungkin saat ini saya masih ada trauma sedikit dan gemuruh di atas pentas, namun ia akan beransur-ansur hilang,” jelasnya optimis.

Menurut Sammy, dia bangkit atas sokongan kedua orang tuanya selain peminat-peminat yang masih menyokongnya.

Bersih dadah

Ditebak dengan soalan sama ada dia sudah bersih sepenuhnya daripada dadah, Sammy yang pernah mendapat jolokan penyanyi solo lelaki terbaik oleh media Indonesia itu mengakui sudah bersih daripada dadah sepenuhnya dan berazam untuk tidak mengambil ‘najis’ itu semula.

“Pertama, saya harus memulihkan otak. Jika otak tidak kuat maka saya akan terjebak semula. Saya juga harus meninggalkan lingkungan (kawan-kawan dadah) yang buruk,” ujarnya yang mengakui kini lebih matang dalam berfikir.

Tidak menyimpan dendam pada teman-teman Kerispatih, ujar Sammy, dia mendoakan yang terbaik buat perjuangan Kerispatih bersama vokalis baharu mereka dan berharap kerjaya solonya berkembang.

Menurutnya lagi, selama di dalam penjara, Sammy sempat mencipta sebanyak 32 buah lagu. Aku Kembali yang juga merupakan judul album solonya merupakan ciptaan Sammy ketika dia berada di penjara.

Bercerita tentang lagu-lagu yang dimuatkan dalam album solo pertamanya itu, kata Sammy, ia sangat berbeza dengan lagu-lagu ketika dia bersama ahli kumpulan Kerispatih dahulu.

PENGALAMAN dipenjarakan memberi banyak pengajaran buat Sammy.

“Album solo saya ini lebih ke arah lagu-lagu cinta. Ia menceritakan tentang saat saya jatuh sehingga saya bangkit semula. Itu sebab saya memilih Aku Kembali untuk judul album ini.

Kena saman

Berkongsi cerita, Sammy memberitahu dia pernah disaman oleh anggota kumpulan Kerispatih yang lain kerana mendendangkan lagu-lagu kumpulan itu ketika diminta oleh peminat.

“Saya tidak mempunyai masalah jika ada peminat ingin meminta menyanyikan lagu-lagu Kerispatih. Bagaimanapun pernah satu ketika di Indonesia, peminat meminta saya menyanyikan lagu Kerispatih. Selepas persembahan solo itu, saya terus menerima surat saman,” ungkapnya.

Walaupun perit kehidupan yang perlu dilaluinya, namun Sammy gembira kerana dia masih diterima peminat dengan baik.

Bersempena pelancaran album solonya, satu persembahan khas turut diadakan pada 8 Mei lalu di Seduction Club & Live Bar.

Dalam persembahan tersebut, Sammy mendendangkan kira-kira 10 buah lagu kepada 300 orang pengunjung yang hadir.